Apabila lelaki di sisi anak lelaki, lelaki 'raja'..


Generasi lama, lelaki dibesarkan macam 'raja', perasaan me'raja' itu terbawa hingga kahwin. Mencabar buat ibu, anak lelaki tidak mahu membuat kerja rumah apabila melihat ayahnya tidak buat. Bagaimana jika ayah tidak dapat beri contoh yang baik kepada anak lelaki?

1) Doa. Doa dulu.

Nabi sallahu alayhi wasallam dalam hadith yang diriwayatkan oleh At Tirmizi dan Abu Daud, 3 golongan yang doanya tidak ditolak doa ibubapa, doa orang yang sedang musafir dan doa orang yang ditindas.

2) Tanamkan rasa TANGGUNGJAWAB dulu. Hari-hari sebut tanggungjawab walaupun anak kecil baru 3 atau 4 tahun. Jangan pandang rendah anak kecil dan anggap mereka tidak faham tanggungjawab. Percayalah jika hari-hari kita ulang perkataan tanngungjawab, otak mereka secara tidak sedar akan proses maklumat itu, cuma jangan PUTUS ASA.

Mengapa tanggungjawab ditanam dulu? Tanggungjawab adalah langkah IHSAN kepada orang lain tanpa disuruh-suruh.

Contoh: Jika anak tahu tanggungjawabnya kepada Allah, maka dia tidak perlu disuruh-suruh untuk solat, puasa sebagaimana diperintahkan oleh Allah.

Begitu juga, anak lelaki yang tidak mahu membuat kerja rumah apabila ayahnya juga tidak buat. Ingatkan dia tentang tanggungjawab dia. Membantu ibu, perkara yang baik, tidak perlu tengok samada orang lain buat atau tidak, yang penting fokus kepada membuat banyak kebaikan dan dapat pahala sebagaimana Allah janji.

3) Padamkan stigma anak perempuan saja buat kerja dapur dan rumah bukan anak lelaki

Sungguhpun begitu dalam Islam, tiada pembahagian sedemikian rupa. Yang ada setiap manusia diberi amanah sebagai khalifah di muka bumi. Sebagai khalifah ada amanah yang perlu dilunaskan, baik lelaki mahupun perempuan.

Baca lebih lanjut mengenai Surah An Nisa ayat 58.

4) Gunakan peneguhan positif

Peneguhan positif yang berunsur membangkit motivasi intrinsik (dalaman) seperti pujian paling penting. Pujian diberikan selepas ganjaran material diberikan. Ganjaran material berupa upah atau benda yang disukai diperlukan untuk membina tabiat. Selepas tabiat terbentuk, dan selepas tanggungjawab tertanam, peneguhan positif bukan keperluan lagi.

Contoh kita sendiri, apakah kita mengurus rumah, mencari nafkah untuk keluarga, kerja pagi balik malam, berpenat lelah dan berpanas hujan, kita dambakan peneguhan positif? Tidak. Kita sanggup bersusah supaya kita dapat menafkahkan anak dan isteri. Kita sanggup urus rumah walaupun penat supaya ahli keluarga rasa terurus dan tenang. Itulah namanya TANGGUNGJAWAB. Dengan rasa itu, anak tidak perlukan lagi peneguhan positif seperti ganjaran.

5) Sentiasa fokus kepada 'circle of control' kita

Kita tidak dapat ubah sang suami untuk jadi apa yang kita mahu. Tidak. Tapi, kita boleh gunakan 'tangan' kita membina generasi baru, mendidik anak lelaki kita yang lebih bertanggungjawab, lebih ihsan pada keluarganya, pada anak dan isteri mahupun ibubapanya. Dengan izin Allah.

Ummu Ilham
#selfreminder

Comments